PETALING JAYA – Penyanyi Lia Aziz mengumumkan dirinya sudah bertunang dengan seorang jejaka bernama Arash Azimi enam bulan lalu.
Lia ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, dia selamat menjadi tunangan orang sekitar penghujung Januari lalu dalam sebuah majlis sederhana yang diadakan di kediaman keluarganya di ibu negara.
“Alhamdulillah urusan pertunangan kami dipermudahkan. Kadang rasa macam tak percaya dah bergelar tunangan orang, tapi itulah fasa yang perlu dilalui.
“Terima kasih atas doa-doa kalian semua. Bukan berniat untuk menyorokkan atau berahsia berhubung perkara baik ini, tidak sama sekali. Tetapi saya ada sebab tersendiri kenapa tidak umumkan ketika pertunangan berlangsung,” katanya.
Tambah pelantun lagu hit Kucu Kuca itu lagi, bila sudah tiba masanya untuk bernikah kelak, dia pasti akan memaklumkan perkara tersebut tanpa berahsia.
“Doakan yang baik-baik. Dah sampai masa nanti, pasti saya sendiri akan umumkan kepada semua,” katanya.
Malam tadi, Lia atau nama sebenarnya Noralia Farzana Abd. Aziz, 19, memuat naik beberapa foto sekitar majlis pertunangan dalam Instagram dan mengejutkan ramai peminat.
“Dah bertunang rupanya Lia Aziz ni. Kahwin nanti jangan lupa bagitahu peminat. Jangan diam-diam dan sorok macam ni.
“Tahniah Lia Kucu Kuca. Muda lagi awak dah bertunang. Alhamdulillah, semoga dipermudahkan urusan dan fasa mendatang,” tulis pengikut. – KOSMO! ONLINE