MELAKA – Bergson Da Silva muncul hero apabila gol di masa kecederaan membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Melaka United 2-1 dalam aksi suku akhir paling mendebarkan di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Kemenangan bergaya buat JDT itu memastikan skuad Harimau Selatan melangkah dengan bergaya ke separuh akhir walaupun skuad Sang Kancil nyaris mengejutkan pasukan itu.
Pujian harus diberi kepada skuad Sang Kancil yang memberi tentangan sengit hingga ke masa kecederaan ketinggalan 0-1 hasil jaringan Leandro Velazquez pada minit keempat, jaringan penalti Sony Norde enam minit sebelum tamat mengikat perlawanan 1-1 yang seolah-olah perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.
Hajat Melaka United untuk mengulangi prestasi mengikat skuad Harimau Selatan 1-1 dalam saingan Liga Super tiga minggu lalu tidak kesampaian.
Seawal minit keempat JDT memperolehi gol pertama hasil tandukan Ahmad Hazwan Bakri menewaskan penjaga gol, Tian Keat See.
Gol awal itu menyentap semangat pemain tuan rumah namun gerakan untuk mencari gol penyamaan tampak sukar kerana pelawat jelas menguasai babak perlawanan.
Pada minit ke-11, JDT sekali lagi mencemaskan benteng pertahanan Melaka United menerusi percubaan Leandro Velazquez meliar keluar.
Namun melalui serangan pantas dari sebelah kiri menerusi larian pantas Adriano Narcizo lalu melorongkan bola tepat ke arah Ifedayo Olusegun yang mudah menyepak masuk menewaskan penjaga gol kebangsaan, Mohd. Farizal Marlias pada minit ke-15.
Tetapi jaringan gol penyamaan dilakukan Ifedayo tu dibatalkan pengadil perlawanan, Khirulazuan Kidam kerana pemain dari Ghana itu berada pada posisi off-said.
Keputusan pengadil itu menyebabkan sebahagian penyokong skuad Hang Tuah berang gol berkenaan telah dibatalkan.
Pada minit ke-34 berlaku kekasaran antara Velazquez dari JDT dan pemain pertahanan tuan rumah, Wan Amirul Afiq menyebabkan kedua-dua pemain tersebut dilayangkan kad kuning.
Lima minit sebelum babak pertama berakhir JDT mencemaskan benteng pertahanan tuan rumah apabila sepakan kencang Arif Aiman melewati palang gol.
Pada minit ke-55, JDT hampa dengan peluang terbaik menambah gol kedua apabila dia yang mendapat hantaran cantik Velazquez lewat melakukan sepakan ketika berdepan Keat See.
Enam minit sebelum tamat aksi penuh Melaka dihadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan Sony Norde bagi mengikat kedudukan 1-1. – KOSMO! ONLINE