fbpx

Bekas CEO bank direman tiga hari bantu siasatan rasuah RM24 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah bank berstatus datuk ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai RM24 juta kira-kira 10 tahun lalu.

Majistret R.Prabakaran membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini tadi.

Suspek berusia lingkungan 50 tahun itu disiasat berhubung dakwaan menerima rasuah berjumlah RM24 juta sebagai balasan meluluskan pinjaman lebih RM294 juta dibuat sebuah syarikat tempatan.

Lelaki berkenaan adalah individu keempat ditahan SPRM berhubung kes itu selepas penahanan tiga individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif wanita yang direman berkaitan kes sama pada 19 Julai lalu.

Dalam pada itu, Prabakaran turut membenarkan suspek wanita tersebut disambung reman selama tiga hari bermula hari ini manakala dua lagi suspek dibebaskan dengan wang jaminan RM15,000 setiap seorang.

Sumber berkata, bekas ketua pegawai eksekutif bank itu telah ditahan di rumahnya pukul 4 petang di Ipoh, Perak semalam.

Menurut sumber lagi, setakat ini pasukan siasatan dikatakan telah berjaya mendapatkan kembali hampir keseluruhan wang berjumlah RM24 juta tersebut hasil sitaan wang serta aset walaupun kegiatan tersebut berlaku kira-kira 10 tahun lalu.

“SPRM membekukan sebanyak 22 akaun bank milik individu dan syarikat berjumlah kira-kira RM6.3 juta dipercayai mempunyai kaitan dalam kes ini.

“Pasukan siasatan juga dikatakan telah berjaya mengesan wang milik suspek utama yang disimpan di negara jiran berjumlah kira-kira RM16.3 juta,” katanya.

Kata sumber lagi, kesemua wang berjumlah RM22.6 juta telah dibekukan untuk tindakan selanjutnya dan operasi ini masih giat dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Perak dan Sabah.

Tambah sumber, wang tersebut berjaya dikesan setelah pasukan siasatan melakukan analisa data menjejak aset.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin, ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI