fbpx

‘Ayam gemuk’ tiada masalah, terlebih sihat dan terlebih makan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Hamzah (depan tengah) bergambar bersama pempamer dan orang ramai sempena Program Road To MAHA 2022 Zon Selatan di Angsana Mall Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan menegaskan pengguna tidak perlu berasa bimbang membuat pembelian membabitkan ‘ayam gemuk’ yang sekarang ini banyak berada di pasaran tempatan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, situasi berkenaan berlaku kerana kini terdapat lebihan bekalan ayam di dalam pasaran.

Menurut beliau, bekalan ayam dan juga telur di negara ini telah kembali pulih sejak Julai dengan bekalan harian melebihi jumlah penggunaan bagi kedua-dua produk terbabit.

“Bermula Julai ini, bekalan bagi ayam telah kembali pulih dengan jumlah pengeluaran setiap hari adalah sebanyak 2.01 juta ekor manakala penggunaan ayam hanyalah 1.8 juta ekor, bermakna kita ada lebih.

“Ini bermakna bekalan kita bukan sahaja mencukupi malahan berlebihan, jadi ada penternak ayam kita mempunyai masa mencukupi untuk membesarkan ayam sebelum ianya dipasarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan selepas Majlis Perasmian Road To Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 Zon Selatan di Angsana Johor Bahru Mall di sini, hari ini.

Tambah Ahmad, ayam-ayam yang berada di pasaran ketika ini kelihatan sedikit gemuk adalah kerana haiwan berkenaan sihat dan mendapat makanan yang mencukupi.

“Disebabkan bekalan mencukupi, penternak kita melambatkan pengeluaran, jadi apabila lambat ayam ini terlebih sihat dan terlebih makan kerana ada sehingga 40 atau 43 hari baharu dijual, jadilah mereka ‘ayam gemuk’.

“Tetapi itu semua tiada masalah, ada juga ayam yang bersaiz sederhana dan kecil di pasaran jadi pengguna boleh buat pilihan saiz mana yang dimahukan mereka, tiada masalah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI