PUTRAJAYA – Laporan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2021 yang julung kali dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) meletakkan tahap bahagia Keluarga Malaysia pada skor 6.48 iaitu bahagia.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, MHI 2021 itu dibuat berasaskan Survei Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2021 yang dilaksanakan untuk mengukur tahap kebahagiaan rakyat Malaysia dari aspek fizikal, sosial, emosi dan spiritual.
Beliau berkata, MHI penting sebagai input dalam penilaian tahap kebahagiaan rakyat Malaysia di peringkat nasional dan negeri yang dapat digunakan dalam mencapai kemakmuran dan masyarakat yang inklusif.
“MHI 2021 ini juga selari dengan pendekatan dalam pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“MHI 2021 juga dibuat berdasarkan 73 indikator dan kemudianya dirangkum dalam 13 komponen iaitu keluarga, perumahan dan alam sekitar, penyertaan sosial, kesihatan dan kemudahan komunikasi.
“Komponen lain diukur termasuk pendidikan, persekitaran kerja, pendapatan, keselamatan awam, penggunaan masa, amalan kerohanian, kebudayaan dan pengalaman emosi,” katanya pada sidang akhbar hari ini.- KOSMO! ONLINE