MENJELANG persiapan saingan Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Musim ke-10, pasukan e-Sukan tempatan negara, Suhaz Esports melakukan perubahan agresif untuk memburu gelaran musim ini apabila membawa masuk jurulatih dari Filipina.
Kini, Suhaz Esports menjadi pasukan tempatan pertama yang menggunakan khidmat jurulatih dari luar negara iaitu John Theo Eusebio.
Pengurus pasukan Suhaz Esports, Mohd. Nur Firdauz Mohd. Konsul berkata, skuad kendalian tersebut bukan saja mendapat jurulatih baharu, bahkan akan diperkuat dengan dua pemain dari Indonesia.
Tegasnya, keputusan membawa pemain baharu itu bertujuan untuk mengadaptasi corak pemainan dari negara tersebut yang terkenal sebagai kuasa besar pemainan Mobile Legends.
“Kalau kita tengok kejohanan sebelum ini, kita nampak permainan pasukan Malaysia, Filipina dan Indonesia sangat berbeza.
“Jadi, kita cuba bawa pembaharuan dengan membawa masuk jurulatih dari luar negara dengan harapan dapat mengubah cara permainan kita di Malaysia. Selain jurulatih, kita bawa masuk dua pemain Indonesia iaitu Rico dari RRQ Sena dan Daffa Dwita Siregar dari Impunity Imperial.
Ketiga-tiga pemain import ini akan ditawarkan kontrak selama setahun untuk dua musim MPL. Theo akan ditugaskan untuk membantu ketua jurulatih, Kelvin Unting berkaitan analisis, latihan dan juga corak permainan pasukan.
Sebagai rekod, Suhaz antara 10 pasukan yang akan bertanding bagi saingan MPL musim ke-10 yang akan membuka tirainya pada 5 Ogos depan.