LONDON – Pihak pengurus Tottenham Hotspur dilaporkan sudah memberikan lampu hijau kepada pengurus mereka, Antonio Conte untuk mendapatkan pemain baharu bagi menguatkan satu lagi posisi yang diperlukan.
Conte menamakan pemain Olympique Lyon, Lucas Paqueta sebagai pemain buruannya untuk menguatkan lagi jentera tengah pasukan itu selain dia juga mampu bertindak di bahagian serangan.
Pemain antarabangsa Brazil berusia 24 tahun itu dianggap sebagai seorang playmaker yang dinamik selain dia juga mampu bertindak sebagai pemain sayap kanan.
Paqueta diletakkan tanda harga £55 juta (RM293.71 juta) oleh Lyon sebelum ini, namun nilainya ketika ini lebih rendah dan berpatutan ketika ini apabila dianggarkan boleh dibeli pada harga £34 juta (RM181.57 juta) sahaja.
Pengarah Sukan Spurs, Fabio Paratici menganggap Paqueta adalah pilihan yang sesuai buat kelab London berkenaan kerana mampu memberikan dimensi dan variasi baharu bagi jentera serangan mereka.
Paqueta berjaya meledak 11 gol dan lapan umpanan jaringan dalam 43 perlawanan bersama Lyon sepanjang musim lalu dalam semua kejohanan, namun Spurs perlu terlebih dahulu melepaskan beberapa pemain sebelum dibenarkan mendapat pemain baharu. – AGENSI