fbpx

Dulu aktif bersukan, kini derita tulang belakang bengkok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norfadilah (kanan) bertanyakan keadaan Ainur ketika melawat dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga remaja itu di rumahnya di Port Dickson, Negeri Sembilan kelmarin.

PORT DICKSON – Kehidupan seorang remaja perempuan yang dahulunya aktif bersukan berubah sekelip mata selepas dia diuji penyakit tulang belakang bengkok.

Disebabkan masalah itu, Ainur Zawanah Azril Shafril, 15, kini tidak boleh mengangkat barang berat termasuk beg sekolah selain perlu menjalani pembedahan yang menelan kos sebanyak RM28,410.

Ibunya, Aziatul Ain Ariffin, 37, berkata, anak sulung daripada lima beradik tersebut dikesan mengalami penyakit tulang belakang bengkok sejak berusia 13 tahun.

“Pada awalnya, anak saya (Ainur) kerap berasa sakit bahagian belakang, lenguh dan kebas pada kaki walaupun dahulunya dia seorang yang aktif bersukan.

“Tetapi sejak menghidap pe­nyakit ini, dia tidak mampu berdiri lama, malah mengangkat beg sekolah pun terasa sakit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jawa, Bukit Pelandok di sini semalam.

Terdahulu, wanita itu menerima kunjungan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) yang menyampaikan sumbangan barang keperluan kepada Ainur.

Keadaan tulang belakang Ainur Zawanah.

Menurut Aziatul Ain, selain kos pembedahan, terdapat kos rawatan susulan lain yang perlu ditanggung sedangkan dia seorang suri rumah, manakala suaminya, Azril Shafril Supangat, 43, bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu.

“Anak-anak juga masih kecil dan bersekolah berusia empat hingga 15 tahun, namun saya sedaya-upaya akan berusaha sehabis baik agar Ainur sembuh dan aktif seperti dulu,” katanya.

Aziatul Ain bersyukur pihak Baitulmal sudi membayar sepenuhnya kos pembedahan tersebut, namun dia perlu menyediakan wang untuk bayaran masuk wad, ubat-ubatan serta peralatan termasuk sut baju sokongan tulang belakang selepas anaknya dibedah.

Ainur dijangka menjalani rawatan dan pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya di ibu negara pada 25 Oktober ini.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga tersebut boleh membuat sumbangan menerusi akaun bank CIMB 7627118080 atas nama Aziatul Ain Ariffin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI