PUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan (KPM) mahu Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) menjadi ejen bertanggungjawab dalam menyebar luas dan menjelaskan tentang dasar, perancangan serta hala tuju pendidikan negara kepada kumpulan sasar seperti guru, sekolah dan ibu bapa.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pegawai PPD perlu sentiasa hadir di sekolah bagi mengenal pasti masalah, keperluan serta mencari penyelesaian segera kepada perkara tersebut.
Beliau berkata, semua PPD perlu menjadi pemudahcara antara pihak sekolah dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan juga KPM sekiranya perkara tersebut tidak boleh diselesaikan di peringkat PPD.
“Persepsi atau tanggapan kehadiran PPD di sekolah sebagai mencari salah, perlu diubah tetapi perlu menjadi institusi yang paling dekat dengan sekolah, PPD perlu menjadi rakan yang sentiasa berusaha membantu sekolah.
“Mengukuhkan keyakinan serta kepercayaan antara PPD, sekolah dan guru maka hubungan baik antara PPD, pentadbir sekolah serta guru akan membantu kelancaran pelaksanaan setiap dasar, perancangan serta transformasi digariskan kementerian” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik melalui Facebook miliknya hari ini.
Radzi berkata, pihak Kementerian sentiasa berusaha memperkasakan sistem penyampaian agar maklumat yang tepat dapat disalurkan antara KPM,JPN, PPD serta sekolah bagi memastikan pegawai PPD dapat menjalankan tanggungjawab dengan cekap dan secara optimum. – KOSMO! ONLINE.