PETALING JAYA – Baru-baru ini pengenalan terhadap cuti haid untuk pekerja wanita menjadi topik bualan dalam kalangan golongan tersebut.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, kerajaan sedang menjalankan kajian berhubung perkara berkenaan dan ia dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober tahun ini sebelum dibentangkan kepada Kabinet.
“Pengenalan cuti haid memerlukan pemerhatian dan perbincangan lanjut termasuk dengan Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan, kesatuan sekerja dan pertubuhan majikan kerana ia bukan sahaja melibatkan kesejahteraan pekerja wanita, tetapi memberi implikasi kepada produktiviti dan ekonomi negara,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di ibu kota, kelmarin.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, rata-rata golongan pekerja wanita menyambut baik perkara itu kerana bagi mereka ia sebagai satu kebajikan yang disediakan bagi menghargai kedudukan seorang wanita.
Sementara itu, Shamiza Idris mengakui pengenalan cuti haid yang diusulkan itu memberi satu keceriaan buat kaum wanita kerana memang ramai yang mengalami kesukaran untuk bekerja ketika berada dalam fasa ‘datang bulan’.
“Saya setuju sekiranya kerajaan memperuntukkan cuti haid kepada pekerja wanita, cukup sekadar dua hari kerana selalunya dua hari pertama merupakan keadaan yang paling sakit atau senggugut teruk kerana haid.
“Kebajikan kami seperti ini perlu diutamakan kerana sukar untuk fokus kerja sambil menahan sakit,” katanya di ruangan komen.
Selain itu, Maisarah turut merasakan Malaysia perlu mengikuti cara negara maju yang lain dalam memelihara kebajikan pekerja wanita.
“Di Sepanyol, mereka menawarkan ‘cuti datang bulan’ selama tiga hari sebulan kepada wanita yang mengalami senggugut ketika bekerja,” kongsinya.
Sebagai maklumat tambahan, negara dunia lain seperti Jepun, Korea Selatan, Indonesia dan Zambia telah memberikan cuti haid kepada wanita sebagai langkah memastikan produktiviti kerja mereka tidak terganggu. – KOSMO! ONLINE