KOTA BHARU – Pemilik sebuah premis di Pasir Tumboh di sini ditahan selepas dipercayai menyembunyikan sebanyak 71 kotak yang mengandungi 1,207 peket minyak masak bersubsidi daripada dijual kepada pelanggan semalam.
Perbuatan tidak bertanggungjawab itu terbongkar selepas dua pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyamar untuk membeli minyak masak peket, namun premis yang dilesenkan untuk menjual minyak masak subsidi itu enggan menjualnya.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, susulan daripada penyamaran itu, pihaknya bersama Batalion 7 Pasukan Gerakan Am dan Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Tok Bali terus menjalankan serbuan di premis itu pada pukul 12.45 tengah hari.
Menurutnya, pemeriksaan telah menemui sebanyak 1,207 peket minyak masak yang dianggarkan bernilai RM 3,017.50 dipercayai disembunyikan oleh pemilik premis itu.
“Pemilik premis yang berusia 46 tahun itu juga gagal mengemukakan segala dokumen barang tersebut termasuk punca bekalan diperoleh, resit belian dan maklumat mengenai minyak masak peket.
“Lelaki itu juga mengaku kesemua minyak masak peket itu telah berada di premisnya sejak tiga hari lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE