fbpx

Peguam mohon pernyataan saksi utama kes Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq ketika hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk mendapatkan pernyataan saksi utama dalam kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang direkodkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2020 semasa siasatannya.

Peguam Gobind Singh Deo berhujah, pernyataan Rafiq Hakim Razali itu akan dijadikan asas mendapat kebenaran memulakan prosiding mencabar kredibiliti beliau pada perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapi oleh Syed Saddiq.

Permohonan bagi mencabar kredibiliti Rafiq yang ketika itu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dikemukakan ekoran keterangan lisannya di mahkamah bercanggah dengan pernyataan yang direkodkan SPRM semasa siasatan.

Sebelum ini, pihak pembelaan memohon mendapatkan pernyataan saksi pendakwaan ke-13 itu meskipun pernyataan secara bertulis itu tidak dikemukakan di mahkamah oleh pihak pendakwaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid ketika menolak permohonan pihak pembelaan pada Isnin lalu berpendapat, pernyataan Rafiq tidak boleh digunakan sebagai asas untuk mencabar kredibiliti beliau kerana ia tidak tertakluk di bawah definisi Seksyen 402(B) Kanun Tatacara Jenayah.

Pada prosiding hari ini, Peguam Gobind Singh Deo berhujah, percanggahan yang menjadi asas kepada permohonan itu antara lain melibatkan perincian masa dan tempat arahan yang didakwa diberikan oleh Syed Saddiq serta tujuan program mengutip dana di Muar, Johor dan wang yang diperolehi hasil kutipan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI