fbpx

Para penyokong Sang Kenari diminta banjiri Stadium Darul Aman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN penyokong yang hadir dalam perlawanan antara KDA FC menentang Sarawak United pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin. – KDA FC

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) berharap para penyokong Sang Kenari membanjiri kapasiti 30,000 penonton di Stadium Darul Aman, Alor Setar setiap kali perlawanan berlangsung di negeri berkenaan berbanding hanya 1,372 penyokong ketika menyaksikan pasukan itu menentang Sarawak United kelmarin.

Pasukan tuan rumah pasti memiliki kelebihan sekiranya para penyokong yang disifatkan sebagai pemain ke-12 hadir ke stadium, sekali gus menyuntik semangat jitu kepada para pemain untuk memburu kemenangan.

Pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak percaya keha­diran penyokong sememang­nya amat ditagih oleh anak-anak buahnya dalam usaha memburu kemenangan.

“Sudah tentu kami mengharapkan lebih ramai pemain ke-12 berada di stadium setiap kali KDA FC beraksi. Apabila kita bercakap tentang sebuah keluarga yang memakai jersi serta logo sama, kita perlu sentiasa bersatu dan perlu ada untuk satu sama lain.

“Saya tekankan kepada pemain bahawa bola sepak tanpa penyokong adalah sesuatu yang tidak bermakna dan kita perlu sentiasa memberikan terbaik buat mereka. Namun, pada masa sama, penyokong perlu sentiasa percaya dan menerima pasukan ini masih berada dalam proses transisi.

“Kita semua perlu bersabar dan Alhamdulillah, kita dapat lihat peminat masih bersama untuk menyokong pemain. Cumanya, saya harap selepas ini kita akan dapat melihat lebih ramai lagi penyokong Hijau Kuning di ‘rumah’ kita ini,” katanya.

Pada perlawanan itu, anak-anak buahnya mencatat kemenangan 3-1 hasil dua jaringan Mahmoud Al Mardi serta satu dari Ronald Ngah Wanja. Gol sagu hati dimiliki Sarawak terhasil menerusi jaringan pemain import dari Nigeria, Uche Agba pada minit ke-52.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI