TAPAH – Memandu laju dipercayai menjadi punca sebuah lori tangki muatan simen hilang kawalan lalu merempuh tiga kenderaan lain di Kilometer 336.3, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian sekitar pukul 10 pagi itu berlaku apabila lori dipandu lelaki berusia 28 yang berada di lorong kiri secara tiba-tiba melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
Katanya, keadaan itu menyebabkan pacuan empat roda berkenaan menggelongsor ke depan lalu melanggar belakang kereta Audi.
“Kenderaan berat itu kemudian terbabas ke kanan dan merempuh penghadang jalan sebelum masuk ke lorong bertentangan iaitu ke arah utara lebuh raya dan melanggar kereta Toyota Yaris.
“Pelanggaran tersebut menyebabkan lori tangki itu terbabas masuk ke dalam longkang. Pemandu lori bagaimanapun tidak cedera,” katanya.
Menurut beliau, kemalangan itu menyebabkan kesesakan kira-kira lima kilometer di kedua-dua hala lebuh raya.
Katanya, ekoran kemalangan itu, pemandu kenderaan pacuan empat roda cedera di kepala, manakala dua pemandu lain tidak cedera.
“Siasatan awal mendapati lori tangki itu hilang kawalan akibat dipandu laju. Ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu lori itu negatif dadah. Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE