PETALING JAYA – Menjadi antara selebriti tempatan terawal merasai dan menikmati ‘kemewahan’ juadah restoran mewah milik seorang cef terkenal dunia terletak di Sunway Resort, Petaling Jaya, tidak semua gembira dengan perkongsian aktres jelita, Nora Danish.
Menerusi Instagram, ramai dalam kalangan peminat mempersoalkan status halal menu serta premis berkenaan.
“Hai, Kak Nora. Kalau boleh tolong ambil serius tentang isu halal sebab anda seorang figura popular,” demikian antara peringatan ditinggalkan netizen dalam ruangan komen entri terbaharu pelakon itu.
Terdahulu, Nora atau nama sebenarnya, Nora Danish Hanis, 40, berkongsi momen bahagia berkunjung sewaktu makan malam di restoran tersebut yang turut ditemani suami, Nedim Nazri Aziz serta dua orang anaknya.
“Pertama kali makan. Makanan sedap. Highlight (pilihan) kami adalah steak tartare, beef wellington, yums!
“Dan ya, scallop sedap juga dan tiram,” tulis pelakon yang cukup popular menerusi sitkom Puteri itu dalam Instagram.
Suami Nora iaitu Nedim turut berkongsi pengalaman menjamu selera di restoran mewah tersebut dengan berkongsi untaian video menerusi Instastory.
“Berada di sini bersama keluarga tersayang. Servis yang sangat cemerlang. Makanan lagi sedap sebab isteri ‘belanja’. Sayang awak, Nora,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE