BALING – Mangsa banjir dan kepala air Bukit Iboi hidup dalam kebimbangan dan trauma setiap kali hujan lebat berterusan di kawasan kediaman mereka.
Lebih membimbangkan apabila mereka mengetahui ada beberapa lagi takungan air di ladang musang king yang pecah dan menunggu masa untuk ‘muntahkan’ airnya.
Penduduk Kampung Belakang Sekolah Rendah Kupang, Fazilah Md Zain, berkata, hujan lebat kelmarin membuatkan mereka sekeluarga tidak lena tidur.
“Sejak hujan lebat bermula lebih kurang pukul 1.30 tengah hari semalam, hati kami berdebar-debar, bimbang berlaku sekali lagi banjir macam hari itu (6 Julai).”
“Saya kerah anak-anak angkat barang-barang dan perkakasan rumah ke tempat tinggi dan selamat, bimbang sangat-sangat kerana dalam tragedi kepala air hari itu barang-barang semua habis rosak tenggelam air lebih dua meter,” kata Fazilah.
Dia ditemui selepas menerima sumbangan ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah dan makanan asas daripada Parlimen Baling, di Dewan Bola Keranjang, Kupang semalam.
Kata Fazilah lagi, kesemua barangan termasuk perkakasan elektrik , dapur, peti sejuk, televisyen dan sebagainya rosak menyebabkan hampir sebulan mereka tidak dapat masak, hanya beli makanan siap dimasak di kedai selain makanan yang dihantar oleh pihak sukarelawan.
Harga ikan yang mahal menyebabkan Fazilah sekeluarga pilih makan ayam yang lebih mudah untuk dibahagikan mereka lapan beranak.
Fazilah berkata, mereka sekeluarga kini bergantung kepada bantuan bulanan sebanyak RM400 daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah selain bantuan lain selepas terbabit dengan banjir.
Katanya, dia sangat berharap agar dapat berpindah ke tempat lain yang lebih selamat berikutan bimbang dengan keselamat sekiranya rumah yang didirikan di tanah rizab sungai ditenggelami banjir sekali lagi selepas ini.
Seorang lagi penerima, Zaharah Shuib, 57, dari Kampung Pekan Khamis berkata, dia sangat bersyukur menerima sumbangan sekilogram ikan daripada LKIM berikutan harga ikan mencecah RM14 sekilogram.
“Kami hidup di sini tidak semestinya setiap hari dapat makan ikan, pucuk kayu pun kami boleh makan,” jelasnya.