LONDON – Manchester United dilaporkan sudah penat untuk menantikan keputusan Frenkie De Jong menyebabkan mereka mungkin mengubah arah dengan menjadikan pemain Leicester City, Youri Tielemans sebagai sasaran baharu.
United hanya selangkah untuk mendapatkan De Jong selepas Barcelona bersetuju dengan tawaran diberikan, namun pemain itu masih berkeras untuk terus kekal di Camp Nou.
Pemain dari Belanda itu mengakui bahawa sekiranya dia terpaksa meninggalkan Barcelona, pilihannya adalah Bayern Munich atau Chelsea dan tidak berminat untuk ke Old Trafford biarpun untuk bersama bekas jurulatihnya, Erik Ten Hag.
Situasi ini menyebabkan United dikatakan sudah mula melihat alternatif lain dan percaya bahawa Tielemans juga merupakan antara pemain berprofil tinggi yang mampu menghadirkan perubahan buat pasukan itu.
Tielemans yang berbaki kontrak 12 bulan sahaja lagi di Leicester dilapor akan mengadakan rundingan mengenai kontrak baharu dan sekiranya gagal menemui kata putus, ia akan membuka peluang kepada United.
Leicester mungkin terpaksa melepaskan pemain itu pada jendela kali ini untuk mengelak daripada membiarkannya berhijrah secara percuma musim depan ketika yuran perpindahnnya ketika ini dianggarkan bernilai £30 juta hingga £35 juta (RM160.21 hingga RM186.91 juta).
Bagaimanapun, Arsenal juga turut dikaitkan dengan Tielemans sejak beberapa bulan lalu, namun mereka perlu terlebih dahulu menjual beberapa pemainnya sebelum membawa masuk pemain berkenaan.
Situasi itu menjadikan United berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mendapatkan pemain antarabangsa Belgium ini, malah perkembangan tersebut mula menimbulkan kegusaran buat Barcelona yang mungkin kehilangan pembeli berpotensi untuk pemain mereka ketika mereka terdesak untuk melepaskan De Jong. – AGENSI