LIVERPOOL – Pengarah Sukan Liverpool, Julian Ward dilaporkan sedang memantau secara dekat perkembangan pemain pertahanan Hamburg, Mario Vuskovic untuk dibawa ke Anfield.
Ward yang menggantikan Michael Edwards untuk mengawal urusan perpindahan pemain di Liverpool berjaya membuktikan kemampuannya apabila memenangi pertarungan dengan Manchester United untuk mendapatkan Darwin Nunez.
Ketika ini, Ward dilaporkan sudah menghantar pasukan pemantau untuk menyaksikan perkembangan pemain pertahanan berusia 20 tahun itu yang dianggap sebagai bakat muda yang sedang meningkat naik.
Vuskovic menyertai Hamburg secara pinjaman dengan kontrak dua tahun dari kelab Croatia, Hajduk Split dan berjaya memberikan impak besar kepada pasukan itu sehingga membolehkannya mendapatkan kontrak tetap.
Liverpool perlu segera membuat keputusan mengenai keinginan mereka untuk mendapatkan Vuskovic apabila kelibatnya turut dipantau dua lagi pasukan dari Liga Perdana Inggeris iaitu Wolverhampton Wanderers dan Brentford.
Ketika Hamburg menentang Braunschweig pada aksi persahabatan pramusim, pasukan pemantau Liverpool dilaporkan menyaksikan perlawanan tersebut, namun lebih mengejutkan mereka tidak bersendirian.
Sebaliknya, pasukan pemantau dari Wolfsburg, Eintracht Frankfurt, Freiburg, Stuttgart, Burnley dan pasukan dari Itali yang tidak mendedahkan identiti mereka turut menyaksikan perlawanan itu dipercayai sedang menilai persembahan Vuskovic.
Hamburg mengakui bahawa mereka berdepan kesukaran untuk mempertahankan pemainnya itu, namun tidak akan melayan sebarang rundingan kecuali jika ia bermula pada harga £8.5 juta (RM45.39 juta). – AGENSI