MONTGOMERY, ALABAMA – Sebuah keluarga yang menyertai pertandingan memancing terkejut apabila seekor ikan pari helang berbintik melompat ke atas bot mereka dan beranak, lapor akhbar New York Post kelmarin.
April Jones dan suaminya sedang memancing di perairan Rumah Api Pulau Sand, negeri Alabama ketika menyertai pertandingan Rodeo Memancing Laut Dalam Alabama 2022.
Secara tiba-tiba, seekor pari helang berbintik dengan berat sekitar 181 kilogram dan mempunyai sayap sepanjang 152 sentimeter melompat naik ke atas bot mereka.
“Ia amat cantik, namun pengalaman ini sangat menakutkan,” kata April di laman Facebook.
Menurutnya, mereka berpendapat haiwan itu bertindak demikian kerana terdapat remora yang tersekat pada bahagian perutnya.
Ketika cuba mengeluarkan haiwan tersebut dari bot mereka dan pada masa yang sama, menyiram air ke atas badannya, pari gergasi berkenaan melahirkan empat anak secara pramatang kerana tertekan.
“Kami amat kecewa kerana anak-anaknya mati dan tiada apa yang mampu dilakukan,” kata April.
Suami April, Brian Jones yang merupakan kurator Akuarium Alabama berkata, kejadian itu bukan luar biasa kerana haiwan liar pernah direkodkan beranak apabila berasakan nyawanya terancam.
“Ini merupakan proses penyesuaian yang memberikan induk peluang lebih baik bagi menghasilkan zuriat dan mewariskan genetik ke dalam populasi,” jelas Jones.
Ikan pari helang berbintik tersebut berjaya dilepaskan kembali ke dalam laut dengan bantuan empat lelaki. Bangkai anak-anaknya pula disumbangkan kepada makmal untuk tujuan penyelidikan spesies itu yang disenaraikan sebagai hampir terancam. – Agensi