fbpx

Jaga mata elak rabun di usia muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Melalui satu kajian yang dilakukan ralat pembiasan merupakan masalah penglihatan paling kerap dilaporkan berlaku dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia. – Gambar hiasan

SETELAH lebih dua tahun berhadapan dengan pandemik Covid-19, ia sebenarnya banyak mengajar kita tentang kepentingan penjagaan kesihatan.

Ia telah memberi kita masa untuk benar-benar memahami cara terbaik untuk menjaga diri dari segi kesihatan mental, fizikal dan emosi untuk mengekalkan kesejahteraan diri.

Ini termasuk penjagaan organ utama sistem visual kita iaitu mata.

Mata berhak mendapat perhatian selari dengan organ penting lain kerana kesihatan mata menentukan tahap kualiti hidup seseorang.

Salah satu perkhidmatan kesihatan biasa diperoleh rakyat Malaysia adalah pemeriksaan mata secara berkala untuk mendapatkan cermin mata baharu yang sepadan dengan keperluan.

Pakar Optometris dari Malaysia MOG Eyewear, Suyidatina Sulaiman berkata, kesedaran tentang keperluan visual merupakan asas penjagaan kesihatan mata.

Katanya, pada masa sekarang, kita banyak menggunakan peranti digital.

Justeru ujarnya, penyesuaian penglihatan antara peranti dan realiti serta penyesuaian visual untuk persekitaran luaran berbeza penting untuk menjaga dan ‘melatih’ stamina mata.

“Mata kita sama penting dengan bahagian badan lain dan ia memerlukan perhatian berterusan untuk mengekalkan kesihatan optimumnya,” katanya.

Untuk itu menurutnya, individu dinasihatkan melawat optometris sekurang-kurangnya setiap tahun untuk penilaian kesihatan mata.

SUYIDATINA

Teknologi pada hari ini semakin maju, melangkaui penjagaan tradisional dan begitu juga dengan amalan optometri.

“Justeru, kami mengutamakan penilaian yang disesuaikan untuk merangkumi kedua-dua pembiasan dekat dan jauh bagi menambah baik penglihatan.

“Mengambil langkah tambahan ini dapat memastikan mata anda dijaga dengan betul.

“Ia mampu mengurangkan risiko gangguan mata seperti glaukoma, retinopati diabetes, degenerasi makula berkaitan usia (AMD), katarak, dan pelbagai penyakit mata lain,” ujar Suyidatina.

Dalam pada itu, mata harus dijaga untuk sebarang keadaan termasuklah ralat pembiasan.

Ralat pembiasan boleh dibahagikan kepada masalah seperti miopia atau rabun jauh, hiperopia (rabun dekat), presbiopia (rabun tua) dan astigmatisme iaitu rabun silau.

Ada antara kita akan menggunakan kanta sesentuh bagi mengatasi masalah tersebut.

Sebenarnya, ramai yang masih tidak mengetahui, kanta sesentuh adalah peranti perubatan yang mesti di preskripsi oleh pakar penjagaan mata bertauliah.

Ia bagi mengelakkan sebarang risiko seperti jangkitan kuman dan memastikan keselesaan yang optimum.

Walaupun kanta sesentuh menjadi antara pilihan yang dipercayai, berkesan dan mudah didapati di pasaran, risiko jangkitan mata semakin meningkat jika tidak mengendalikan dan menjaganya dengan betul.

Kanta sesentuh yang diperoleh dari sumber tidak sah dan gagal mengikuti garis panduan yang betul boleh mendatangkan masalah yang tidak diingini.

Dalam pada itu, melalui satu kajian yang dilakukan, ralat pembiasan ini merupakan masalah penglihatan yang paling kerap dilaporkan terjadi dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.

Situasi tersebut perlu dipandang serius kerana masalah penglihatan sangat mempengaruhi kualiti hidup setiap individu.

Masalah penglihatan kanak-kanak sering diabaikan kerana mereka terlalu muda untuk mengadu atau memahami sifat sebenar penglihatan yang jelas atau kabur.

Terdapat kes yang mana sesetengah ibu bapa tidak mengambil perhatian serius apabila si kecil mengadu tentang masalah penglihatan yang menimpa mereka.

Jika dibiarkan, ia akan menyebabkan penglihatan kanak-kanak menjadi semakin teruk setelah dewasa.

Kanak-kanak, seperti orang dewasa turut terdedah kepada risiko penyakit mata seperti retina terkoyak, makulopati iaitu kemerosotan makula, dan gangguan penglihatan binokular seperti strabismus (mata juling) dan amblyopia (mata malas).

Jawapan terbaik bagi kanak-kanak yang menghadapi masalah mata adalah mendapatkan cermin mata bagi membetulkan penglihatan mereka.

Bagaimanapun, mereka mungkin tidak memahami kepentingan pembetulan penglihatan yang amat penting ini.

Sebagai contoh, miopia penglihatan kabur pada jarak jauh dan jika tidak dirawat boleh memberi kesan besar kepada perkembangan anak-anak dalam kehidupan seharian mereka.

Ini amat ketara dari segi koordinasi pergerakan, kebolehan pembelajaran serta keterikatan emosi semasa membesar.

Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan penting untuk memastikan si kecil menerima sokongan ideal daripada pakar penjagaan mata dipercayai untuk melengkapkan permintaan visual.

Pakar optometris mungkin mengesyorkan jenis kanta optik khusus atau kanta sesentuh sebagai sebahagian daripada program yang dikenali sebagai Kawalan Miopia Kanak-Kanak.
Ini melibatkan perundingan profesional dan penyesuaian preskripsi yang dipantau sepanjang tahun, terutamanya pada tahun pertama.

Program ini bertujuan untuk memperlahankan perkembangan masalah rabun dan mengelakkan kerabunan pada usia awal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI