SKUAD Harimau Malaya dijangka menentang pasukan ‘gergasi’ Asia dan Amerika Latin pada aksi persahabatan antarabangsa, September nanti selepas mengesahkan penyertaan kejohanan empat penjuru di Thailand.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd. Saifuddin Abu Bakar berkata, beberapa perancangan telah dibuat oleh pihaknya bagi memastikan skuad kendalian Kim Pan-gon menjalani persiapan rapi sebelum beraksi pada kejohanan Piala AFF 2022, Disember nanti.
Kata Saifuddin, antara pengesahan awal yang boleh diumumkan adalah penyertaan skuad Harimau Malaya pada siri kejohanan mini yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Thailand yang akan dilangsungkan pada kalender FIFA, September nanti.
“Buat masa ini kami boleh dedahkan penyertaan skuad Harimau Malaya ke kejohanan yang bakal dianjurkan di selatan Thailand melibatkan empat penjuru pada 22 hingga 25 September nanti.
“Buat masa ini saya difahamkan pasukan tersebut akan disertai negara yang menduduki ranking lebih baik sama ada dari Asia atau wilayah Timur Tengah serta Amerika Latin dan akan dilangsungkan di Hat Yai atau Pattaya.
“Biarlah pihak penganjur (Thailand) yang mengumumkan lebih lanjut,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat ahli jawatankuasa eksekutif (Exco) di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Antara beberapa negara Asia dan Timur Tengah yang bertaraf ‘elit’ ketika ini seperti Jepun, Australia dan Bahrain, manakala dari benua Amerika Latin kemungkinan Ecuador dan Peru.
Pada masa sama, Saifuddin turut mengesahkan perancangan untuk mengaturkan aksi persahabatan di tanah air pada November juga sudah mula dilakukan tetapi masih belum dapat didedahkan secara terperinci.
“Bagi perlawanan pada November, kita akan buat aksi persahabatan sebelum Piala Dunia. Mengenai negara mana dan di mana ia bakal dilangsungkan akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Skuad negara kini memiliki momentum terbaik di peringkat antarabangsa selepas tampil cemerlang pada aksi kelayakan untuk layak secara merit ke kancah Piala Asia 2023 pada bulan lepas.