PETALING JAYA – “Jangan gatal cakap anak saya tak ke sekolah ya, dia sedang cuti.”
Demikian penjelasan pelakon popular, Rozita Che Wan apabila terdapat segelintir netizen yang mempertikai mengapa anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana tidak bersekolah seperti kanak-kanak lain.
Tampil menjawab pertanyaan ramai, dia yang mesra disapa sebagai Che Ta memberitahu, Aaisyah yang merupakan pelajar sebuah sekolah antarabangsa sedang bercuti.
“Ada yang tanya anak saya tidak ke sekolahkah? Alahai, Aaisyah sedang bercuti (summer break). Bulan Ogos nanti dia akan kembali ke sekolah semula.
“Dia bersekolah antarabangsa. Mereka kalau bercuti memang dalam tempoh yang lama,” katanya dalam satu entri Instagram semalam.
Tambah pelakon drama Suri Katriana itu, anak bongsunya yang kini berusia lapan tahun itu akan mengikutnya bekerja terutama pada musim cuti sekolah.
“Jadi, dia akan mengikut saya sekiranya ada masa terluang. Jika saya sibuk dengan penggambaran, ayahnya, Zain Saidin atau dua abangnya yang akan menjaga.
“Jangan gatal kata anak saya tidak pergi ke sekolah. Dia sedang cuti. Siap ada cikgu yang ajar mengaji datang ke rumah,” ujarnya.
Aaisyah merupakan anak hasil perkahwinan Che Ta bersama Zain pada 2013 selain turut mempunyai dua orang anak iaitu Ammar Effendy dan Aniq Ezzra hasil perkahwinan bersama suami pertamanya. – KOSMO! ONLINE