KUALA LUMPUR – Polis telah memanggil lima individu bagi merakam percakapan berhubung insiden pergaduhan di sebuah kedai makan di Jalan Alor, Bukit Bintang di sini pada 17 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya berkata, pihaknya terkesan dengan sebuah klip video yang dimuat naik di laman Facebook berhubung pergaduhan melibatkan sekumpulan individu.
“Justeru itu, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah menjalankan siasatan berhubung kejadian dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Berdasarkan hasil siasatan mendapati, lima individu dipercayai terlibat dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5.30 pagi itu dan kita telah panggil mereka untuk dirakam percakapan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kertas siasatan berkaitan kes tersebut sedang dilengkapkan.
“Kita akan rujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Terdahulu, tular klip video di laman Facebook memaparkan pergaduhan melibatkan sekumpulan individu di sebuah kedai makan yang mana terdapat individu membaling kerusi plastik ke arah individu lain. – KOSMO! ONLINE