WATAK lelaki budiman atau ustaz sepertinya sudah sebati dengan perjalanan karier pelakon terkenal Ashraf Muslim.
Jika disingkap kembali, dia sudah memegang watak sebegitu dalam beberapa buah naskhah lebih sedekad lalu seperti filem Aku Masih Dara dan drama Puaka Niyang Rapik.
Kini, Ashraf kembali dengan watak hampir serupa iaitu sebagai seorang ustaz dalam sebuah filem seram arahan Arjin Uppal berjudul Musyrik.
Ashraf atau nama sebenarnya Muhd. Ashraf Muslim memberitahu, jalan cerita naskhah yang sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara tersebut sangat dekat dengan kisah masyarakat negara ini iaitu berkisar amalan ilmu hitam untuk membalas dendam.
Ikuti temu bual bersama aktor berusia 40 tahun itu yang berkongsi tentang filem Musyrik, soal selektif dalam pemilihan watak dan nasihat buat golongan selebriti yang gemar berkongsi kisah peribadi dalam media sosial.
KOSMO!: Boleh Ashraf kongsikan tentang filem Musyrik? Khabarnya sudah menjalani penggambaran empat tahun lalu?
ASHRAF: Ya, penggambaran filem ini dijalankan sekitar 2018 dan saya pun hampir lupa beberapa babak kerana sudah empat tahun berlalu, namun alhamdulillah akhirnya ditayangkan jua.
Dalam filem ini saya memegang watak Ustaz Akasyah iaitu individu yang banyak membantu orang ramai akibat gangguan syaitan dan ilmu hitam.
Sebagai seorang pelakon utama, apa pandangan anda tentang pendedahan amalan ilmu hitam dalam filem berkenaan?
Bagi saya, mesej utama yang hendak diketengahkan menerusi filem ini ialah jauhi perkara syirik dan khurafat serta perasaan dendam sesama manusia.
Mungkin jalan ceritanya kedengaran klise tetapi itulah realiti yang sering berlaku dalam masyarakat hari ini, dengan kata lain, masalah hati.
Bagaimana watak anda boleh mencetuskan kesedaran buat penonton?
Watak saya sama seperti karakter ustaz lain, namun saya tekankan kekuatan dan kebesaran ayat al-Quran dalam menepis kejahatan iblis.
Tidak sukar pun sebab saya banyak guna surah al-Fatihah dan al-Ikhlas. Mudah dan boleh diamalkan orang ramai.
Anda sering menjayakan watak-baik seperti lelaki budiman dan ustaz. Pernah terbit rasa bosan dengan tawaran sebegitu?
Ada juga rasa bosan, namun tidaklah semua tawaran saya terima, ikut kesesuaian sahaja. Selepas pandemik berlalu, banyak tawaran yang diberikan, namun saya tapis sama ada sesuai atau tidak.
Ada beberapa lagi karakter yang saya belum dapat seperti individu kurang upaya (OKU). Watak sebegitu boleh mencabar lagi kemampuan saya sebagai seorang pelakon.
Beralih kepada cerita peribadi, apakah pandangan anda tentang golongan selebriti yang kerap berkongsi masalah rumah tangga dalam media sosial?
Kepada pasangan suami isteri, jika ada masalah berkaitan keluarga, simpan untuk diri sendiri berbanding jaja dalam media sosial. Kadang-kadang kita terlupa dan rupa-rupanya sudah terbuka aib apabila leka berkongsi dengan orang ramai. Netizen pula doakanlah yang baik-baik, bukannya terus menjadi batu api.
Selalunya apa yang kita ucap, mungkin akan jadi satu doa berbalik pada diri sendiri.
Jika ingin menegur, suarakan dengan kata-kata positif dan bantu menjernihkan hubungan mereka.