SHAH ALAM – Kesihatan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikatakan kembali tidak sihat dan sedang menerima rawatan.
Bekas Setiausaha Politiknya, Faekah Husin berkata, dia sempat melawat bekas majikannya di sebuah bilik rawatan dan menyatakan perasaan sebak melihat keadaan Abdul Khalid.
“Semalam sempat ziarah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Masuk sahaja ke bilik, nampak Puan Sri Salbiah (isteri Abdul Khalid) sedang duduk setia di sisi sambil memerhati beberapa jururawat yang sedang menyediakan alatan untuk memberi rawatan kepada Tan Sri.
“Dengan tidak semena-mena dadaku terasa berat, sebak dan pilu, apatah lagi kedengaran sayup bacaan al-Quran yang dipasang di bilik tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.
Jelasnya lagi, dia berasa bertambah sedih kerana tiada peluang dan kesempatan untuk berbual bertanya khabar dengan Abdul Khalid kerana jururawat sudah mahu memulakan rawatan.
Faekah turut berdoa agar segala urusan rawatan Abdul Khalid dipermudahkan supaya kembali sihat seperti biasa. -KOSMO! ONLINE