fbpx

Tinggal sendirian dalam rumah daif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MANSOR menadah air menggunakan besen jika hujan ekoran bumbung rumahnya bocor ketika ditemui di Ampangan, Seremban kelmarin.

SEREMBAN – Runtun hati melihat seorang lelaki warga emas tinggal bersendirian di dalam rumah pusaka keluarganya yang sangat daif dan serba kekura­ngan di Ampangan di sini.

Mansor Mohd. Tahir, 66, yang tiada punca pendapatan meng­huni rumah itu berbumbungkan langit kerana atapnya bocor selain keadaan di dalamnya yang dipenuhi dengan barangan lusuh.

Keadaan itu menyebabkan Mansor yang sebelum ini bekerja sebagai penilai gred kayu tidak selesa terutama ketika hujan apabila rumahnya dimasuki air.

“Apabila hujan lebat dan a­n­g­in kuat air masuk dalam rumah, tetapi saya tidak mempunyai pi­lihan kerana ini satu-satunya rumah pusaka keluarga yang saya diami sejak dahulu lagi.

“Ruang di bahagian hadapan rumah inilah tempat saya tidur, solat dan memasak. Jika diikutkan memang tidak selesa, tapi nak buat macam mana sudah nasib saya tinggal begini di usia tua,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Sebelum ini, Mansor bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Setelah berhenti kerja pada usia 55 tahun, lelaki itu hanya mengharapkan bantuan kewa­ngan daripada adik perempuannya yang juga seorang pesara guru.

“Saya sebenarnya malu untuk meminta bantuan, tetapi wang simpanan sudah habis, saya tidak mampu untuk membaiki kerosakan rumah ini, malah adik juga sudah pencen. Sampai bila hendak mengharapkan bantuan daripadanya.

“Dari segi makan mudah sahaja, saya masak hidangan yang ringkas seperti bubur atau sayur. Itu sudah cukup untuk mengalas perut,” katanya yang tidak pernah berkahwin.

Lebih membimbangkan, Mansor berkata, rumahnya pernah dimasuki ular sawa dan tedung sebanyak tiga kali, namun dia bernasib baik tidak diserang, namun berisiko terkena litar pintas.

Mansor reda de­ngan ujian yang menimpanya dan berharap agar dapat menghuni rumah yang lebih selesa untuk berteduh.

“Cukuplah rumah yang selesa untuk saya berlindung dan solat terutama jika hujan,” katanya yang mempunyai masalah kolesterol serta sakit belakang badan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mansor di talian 019-2565199 atau menerusi akaun Maybank bernombor 155014913428.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI