PEMBUANGAN sisa pepejal di negara ini perlu dititikberatkan setiap lapisan masyarakat.
Ini kerana, sisa pepejal yang dijana di Malaysia dianggarkan sebanyak 38,427 tan metrik sehari pada 2021 dan lebih daripada 80 peratus terdapat di tapak pelupusan sampah.
Angka itu dijangka mencecah 14 juta tan metrik pada 2022.
Daripada jumlah itu, 50 peratus sisa pepejal yang dihasilkan berasal daripada bahan organik yang boleh ditukar kepada kegunaan lebih baik.
Bagi mengatasi masalah itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggunakan agen penukaran bio iaitu serangga bagi mengitar semula sisa organik tersebut.
Untuk tujuan itu, UiTM bekerjasama dengan rakan penyelidik industri untuk membangunkan penyelesaian bagi merawat sisa organik di tapak pelupusan sampah.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, penyelesaian mesra alam dan kos rendah itu menggunakan serangga seperti lalat soldadu hitam (black soldier fly) untuk mengitar semula sisa organik di tapak pelupusan sampah dan menggunakannya bagi merawat air sisa.
Katanya, projek itu dijalankan dengan kerjasama Berjaya Enviropark Sdn. Bhd. dan Entomo Agroindustrial dari Sepanyol.
Ia dijangka bermula bulan depan dan UiTM akan menjalankan segmen analisis data.
“Melalui kerjasama ini, EnviroPark menjalankan penyelidikan dalam memisahkan sisa organik dan
membekalnya kepada penyelidik UiTM.
“Sementara itu, Entomo Agroindustrial akan mengkaji dan mereka bentuk bekas kargo automatik
terkini ataupun peranti rawatan sisa menggunakan lalat soldadu hitam dan menyesuaikannya dengan keadaan tropika di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penukaran memorandum perjanjian (MoA) projek tersebut baru-baru ini.
Dalam pada itu, projek penyelidikan itu bertujuan menggunakan serangga seperti lalat soldadu hitam bagi mengitar semula sisa organik di tapak pelupusan sampah.
Selain itu, ia juga dapat merawat air sisa untuk mencapai pelbagai matlamat dalam K-ekonomi dan Mampan Matlamat Pembangunan (SDGs).
UiTM sebelum ini dianugerahkan geran bernilai RM350,000 untuk melaksanakan projek bertajuk Inovatif,
Ekologi dan Kos Rendah untuk Sisa Organik dan Rawatan Air Sisa daripada Kementerian Pengajian Tinggi.
Kata Dr. Roziah, dalam projek itu, penyelidik dari UiTM, Prof. Madya Dr. Heo Chong Chin dan pasukannya meneruskan penyelidikan keberkesanan penggunaan lalat soldadu hitam untuk mengurangkan sisa organik di tapak pelupusan serta merawat air sisa.
“Saya gembira kerana penyelidikan khusus ini sangat relevan apabila kita memanfaatkan kepakaran dan sumber antara satu sama lain.
“Melalui gabungan kerjasama ini, ia pasti membantu menangani isu yang mempengaruhi banyak komuniti di seluruh dunia dengan menyelesaikan pengurusan sisa organik harian dengan cara lebih mampan,” jelasnya.
Tambahnya, melalui projek inovatif industri dan akademik seperti ini diharap dapat menambah baik operasi sistem pengurusan sisa organik.
“Ini bagi menjadikannya lebih mampan, mesra alam dan seterusnya menambah baik dasar polisi negara,” katanya.
Dalam pada itu, Chong Chin berkata, melalui projek itu, lalat soldadu hitam mengitar semula sisa organik di tapak pelupusan, seterusnya kitosan yang diekstrak daripada lalat itu digunakan untuk merawat air di loji rawatan kumbahan.
Katanya, kitosan adalah sejenis karbohidrat dan terhasil apabila larva ulat lalat ini memakan sisa organik.
“Jadi kajian kita adalah untuk menentukan peringkat mana perkembangan ulat ini menghasilkan
lebih banyak kitosan,” ujarnya.
Tambahnya, kitosan berfungsi untuk mengendapkan sisa-sisa kotoran dan air yang dirawat akan lebih
bersih.