fbpx

Permohonan QC dari UK wakili Najib dalam rayuan akhir kes SRC ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Peguam Diraja (QC) dari United Kingdom (UK) Jonathan Laidlaw untuk mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid memutuskan demikian selepas Jonathan gagal menunjukkan dia mempunyai kelayakan khas dan pengalaman untuk mengendalikan kes atau rayuan seperti pertuduhan dihadapi Najib.

Justeru katanya, tidak ada keperluan untuk membenarkan kemasukan sementara QC sebagai peguam di Malaysia.

Dalam penghakiman ringkas melalui sidang video, Ahmad Kamal berkata, Jonathan juga tidak dapat menunjukkan bahawa kelayakan dan pengalamannya tidak dimiliki oleh mana-mana peguam di negara ini bagi tujuan berkenaan.

Hakim itu turut menegaskan bahawa isu dalam pertuduhan SRC mampu dikendalikan oleh peguam Malaysia.

Pada 31 Mei lalu, peguam itu memfailkan permohonan supaya diterima masuk dan didaftarkan sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya di mana peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan berkenaan.

Antara alasan dikemukakan Muhammad Shafee ialah peguam itu mempunyai kelayakan dan kepakaran yang tidak boleh didapati dalam kalangan peguambela dan peguamcara di negara ini.

Ia adalah kerana rayuan terakhir kes SRC International membabitkan isu yang serius, kompleks dan novel iaitu cabang undang-undang jenayah dan sivil, amalan dan keterangan, hak perlembagaan, cara pendakwaan dijalankan oleh pihak Pendakwa Raya, penghakiman kes mahkamah jenayah oleh mahkamah perbicaraan dan pentadbiran sistem Keadilan Jenayah.

Pada 25 Januari lalu, Najib melalui Muhammad Shafee dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon supaya Najib dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom.

Permohonan itu dibuat atas alasan QC mempunyai kepakaran untuk menasihati dan berpengalaman mengendalikan rayuan akhir Najib yang sangat kompleks dan membabitkan isu serta persoalan perundangan baharu bukan sahaja dalam bidang kuasa negara ini, malah di negara Komanwel.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI