fbpx

Penghantar makanan hina Islam dipenjara, gagal bayar denda RM50,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang penghantar makanan yang videonya tular di platform media sosial kerana menghina Islam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang di sini, hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA

SEPANG – Seorang penghantar makanan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menghina Islam menerusi satu rakaman video di saluran Youtube miliknya pada Sabtu lepas.

Hakim, Ahmad Rizki Abdul Jalil menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Nor’muzil Mohd Razalli, 39, dan mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Ketika menjatuhkan hukuman, Ahmad Rizki turut menasihati tertuduh supaya insaf dan bertaubat atas kesalahan yang telah dilakukan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd. Nor’Muzil didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komunikasi bersifat jelik melalui platform Youtube dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang telah dilihat pada pukul 11.15 malam di hadapan sebuah stesyen minyak di Cyberjaya, 16 Julai lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 233(3) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu Mohd. Nor’Muzil memohon dikenakan hukuman denda yang ringan atas faktor pekerjaannya selain mempunyai tanggungan.

Nor Azizah kemudiannya memohon kepada mahkamah agar menjatuhkan hukuman pemenjaraan dan denda sebagai pengajaran kepada tertuduh berikutan kenyataannya yang telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Tertuduh bagaimanapun gagal membayar denda dikenakan dan dia akan dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman selama enam bulan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI