fbpx

Pemandu cuai, treler ‘sakit’ ancam nyawa orang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

Pada 13 Julai lalu, sepasang suami isteri dan dua anak terkorban selepas kereta Proton Persona yang mereka naiki dirempuh sebuah treler tanpa muatan di Kilometer (KM) 277.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Ipoh sekitar pukul 3 petang.

Tidak sampai 24 jam, seorang ibu tunggal maut dan anak lelakinya putus kaki kiri apabila sebuah treler terbalik dan muatan besi yang dibawa menghempap mereka di simpang empat lampu isyarat di Kampung Dalam Kemunting, Pasir Puteh, Kelantan pukul 9.05 pagi.

Pada 12 Mei lalu pula, lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah rentung selepas kereta yang mereka naiki terbakar selepas dirempuh sebuah treler di KM 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berdekatan Kuala Kangsar pukul 12.52 tengah malam.

Ini adalah sebahagian kes kemalangan yang paling menyayat hati berlaku tahun ini selepas negara mula memasuki fasa peralihan endemik. Banyak lagi kes kemalangan yang meragut nyawa melibatkan treler berlaku sebelum ini.

Sekali berlaku insiden melibatkan treler, nyawa yang terkorban bukan satu, dua atau tiga, malah sampai lima orang. Dalam sekelip mata sahaja, anak-anak menjadi yatim piatu, isteri menjadi janda dan suami pula menjadi duda.

Ini tidak termasuk lagi kecederaan parah yang dialami mangsa sehingga ada yang putus anggota badan, lumpuh dan mengalami kecacatan sepanjang hayat mereka angkara kecuaian sebahagian pemandu treler.

Apabila semakan dilakukan terhadap pemandu treler terbabit, rekod kesalahan trafik yang dimiliki mereka bukan hanya ada lima atau enam, malah berbelas-belas dan juga berpuluh-puluh rekod buruk terutama memandu melebihi had laju dan secara melulu.

Lebih teruk lagi apabila ada pemandu treler yang mengambil dadah atau air ketum untuk menambah tenaga bagi mengelak daripada mengantuk demi mengejar ‘trip’.

Mengikut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 152,855 kes kemalangan jalan raya membabitkan lori dan treler dicatatkan dari tahun 2019 hingga 14 Mei lalu.

Selain masalah pemandu, terdapat kenderaan berat yang dipandu mereka juga boleh dikatakan sudah ‘uzur’ untuk berada di atas jalan raya.

Masalah teknikal yang paling popular didengari adalah brek ‘tidak makan’ atau brek rosak. Itupun masih berani membawa lebihan muatan dan memandu laju.

Ketika melalui pemeriksaan berkala dengan pihak berkaitan, treler berada dalam keadaan sempurna dan selamat dipandu seolah-olah kerap diselenggara, tetapi selepas ujian itu, macam-macam pula ‘sakit’ yang timbul.

Sampai bila kes-kes kemalangan maut sebegini akan terus berlaku? Ramai pemandu kenderaan kecil kini takut untuk memandu berdekatan treler, selagi boleh dijauhi, akan dijauhi.

Walaupun bukan semua pemandu treler bermasalah, namun hukuman paling berat perlu dikenakan terhadap mereka yang melanggar peraturan sehingga meragut nyawa orang lain.

Jika ada berpuluh-puluh saman, lebih baik gantung sahaja lesen memandu mereka. Pemandu seperti itu hanya mengancam nyawa orang lain. Jalan raya adalah tempat untuk semua pemandu berkongsi jalan dalam keadaan ekosistem yang selamat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI