SEBERANG PERAI – Polis merampas 300 kilogram dadah jenis ganja bernilai RM750,000 yang disembunyikan di dalam kotak polisterina sekali gus menahan sepasang kekasih dalam serbuan di Bukit Mertajam di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, operasi tersebut dilakukan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, JSJN Perlis dan JSJN Pulau Pinang.
“Teman lelaki warga tempatan dan kekasihnya warga Indonesia yang masing-masing berusia 41 dan 37 tahun ditahan di sebuah rumah sewa di Taman Impian pada pukul 9 malam.
“Hasil serbuan kita menemui 12 kotak polisterina yang setiap satunya berisi 24 ketulan mampat ganja yang disembunyikan di sekitar rumah terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, ganja tersebut diseludup masuk dari Thailand melalui jalan laut sebelum menggunakan jalan darat ke Pulau Pinang.
Katanya, rumah terbabit dijadikan transit sebelum kesemua ganja itu dihantar untuk pasaran Lembah Klang.
“Kedua-dua suspek adalah ahli sindiket dan kita masih siasat berapa lama sindiket ini telah beroperasi.
“Ujian saringan air kencing kedua-dua suspek adalah negatif dan masing-masing tidak memiliki rekod kesalahan lampau.
“Semakan mendapati pasangan terbabit tiada surat nikah walaupun tinggal bersama malah suspek wanita juga tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri,” katanya kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 23 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambah beliau, dari Januari sehingga Jun lalu, polis Perlis telah merampas 364 kilogram ganja yang diseludup masuk melalui sempadan negeri membabitkan 16 tangkapan. – KOSMO! ONLINE