Kejayaan filem epik Melayu Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan meraih kutipan lebih RM80 juta setakat ini menjadikan ia salah satu daripada karya tempatan yang patut dibanggakan oleh semua rakyat Malaysia.
Tidak dinafikan, penghasilan naskah berunsur patriotik oleh Pengarah Syamsul Yusof itu secara tidak langsung menyumbang kepada pengukuhan jati diri anak tempatan agar lebih cintakan budaya dan tanah air.
Jika dilihat perkongsian di platform media sosial hari ini, semakin ramai pengguna yang berkongsi gambar berbusana Melayu lengkap dengan destar atau tanjak Melayu dan mereka kelihatan begitu bangga menggayakannya.
Namun begitu, belum surut keterujaan penonton menghayati filem itu, timbul pula kontroversi yang dibangkitkan oleh pihak tertentu dengan mendakwa naskah epik tersebut membawa kepada perpecahan perpaduan antara kaum dalam negara ini.
Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia (PSM), Dr. Zaid Ahmad berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku dan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum sepatutnya menonton filem tersebut dengan satu perspektif terbuka tanpa sebarang prejudis.
“Saya sendiri sudah menonton filem Mat Kilau dan turut melihat kepada mesej-mesej yang cuba disampaikan. Jadi bagi saya, kita hendaklah jujur kerana apa yang dipaparkan hanyalah satu episod daripada lembaran sejarah yang panjang.
“Untuk sesetengah pihak mengambil atau membuat kesimpulan yang di luar konteks filem tersebut adalah suatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Zaid, filem Mat Kilau juga tidak memberi sebarang gambaran salah terhadap mana-mana pihak kerana jika dirujuk kepada peristiwa sejarah, memang terdapat situasi yang mana kaum-kaum tertentu yang berkhidmat dengan penjajah.
“Ini bukan penipuan, ia adalah realiti dan kita harus jujur dalam perkara ini jika mahu memaparkan realiti situasi pada ketika itu. Sudah pasti ada interaksi positif antara kaum ketika itu, namun tidak semuanya dapat dipaparkan dalam filem yang berdurasi terhad.
“Yang penting adalah mesej dibawakan oleh filem itu sampai. Tidak dinafikan ada babak fiksyen dalam filem tersebut seperti watak yang diadakan, namun itu menggambarkan kreativiti pengarah dan tidak salah selagi tidak menyeleweng fakta sejarah,” kata beliau.
Tambah Zaid, hujah pihak tertentu yang membawa kontroversi itu adalah tidak berasas serta tidak kuat, sebaliknya hanyalah sekadar bermain dengan sentimen semata-mata dan tidak akan bertahan lama.
Dalam perkembangan sama, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi kenyataan yang dikongsi Selangor Royal Office baru-baru ini turut menggalakkan masyarakat terutama orang Melayu untuk menonton filem Mat Kilau.
Titah baginda, ia boleh dijadikan sebagai satu teladan dan pengajaran bahawa sesebuah tamadun dan negara boleh runtuh seandainya tiada perpaduan dan bekerjasama dalam mempertahankannya.
Filem-filem berunsur patriotik sebegini patut dijadikan kunci penyatuan kepada kepelbagaian kaum di Malaysia selain menyemai semangat cintakan negara dan tiada siapa menafikan tokoh-tokoh sejarah daripada kaum selain Melayu yang pernah berjuang menentang penjajah.