WASHINGTON – Amerika Syarikat(AS) kelmarin menambah Vietnam, Kemboja, Brunei dan Macau ke dalam senarai hitam pemerdagangan manusia bersama-sama Malaysia kerana didakwa lemah dalam menghentikan kegiatan pelacuran secara paksaan atau membantu pekerja imigran.
Dalam laporan tahunannya, AS turut memasukkan Belarus dan sekutu Barat, Bulgaria ke dalam senarai ‘Peringkat 3’ tersebut kerana gagal mengambil serius jenayah pemerdagangan manusia.
“Sekiranya anda lihat laporan ini, anda akan menyaksikan gambaran kemajuan yang berbeza-beza,” kata Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.
Blinken berkata, rasuah menjadi ‘alat utama’ sindiket-sindiket penyeludupan manusia untuk bergantung harap supaya kerajaan menutup sebelah mata terhadap jenayah mereka.
Laporan tahunan pemerdagangan manusia oleh Jabatan Negara itu tidak mengecualikan sekutu rapat AS yang kerap kali mencetus perbalahan pada masa lalu, namun pegawai-pegawai Washington berkata, berita negatif itu mendorong kerajaan-kerajaan terbabit untuk bertindak.
Negara-negara yang berada dalam senarai hitam Peringkat 3 itu tertakluk kepada sekatan AS. Bagaimanapun, Washington berulang kali menangguhkan hukuman terhadap negara-negara sahabat yang berjanji akan melakukan penambahbaikan.
Kari Johnstone selaku pegawai kanan Jabatan Negara bertanggungjawab memerangi penyeludupan manusia berkata, sebilangan kerajaan di Asia diturunkan kedudukan dalam senarai tersebut kerana telah berada dalam pemerhatian sebelum ini serta gagal menunjukkan kemajuan.
“Adalah mengecewakan kerana terdapat sebilangan negara di rantau Asia pada tahun ini yang tidak meningkatkan usaha memerangi pemerdagangan manusia,” katanya kepada pemberita.
Bersama-sama Malaysia, negara yang kekal dalam senarai hitam AS dari tahun lalu lalu adalah Afghanistan, Cuba, Eritrea, Guinea-Bissau, Iran, Myanmar, Korea Utara, Nicaragua, Russia, Sudan Selatan, Syria, Turkmenistan dan Venezuela. – AFP