fbpx

Lihat kiri kanan bantu jejak Zalina -Rina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rina (kanan) pada sidang akhbar selepas Persidangan Meja Bulat Wanita Bangkit 2022, hari ini. - FOTO: AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan membantu menguar-uarkan kehilangan bekas pembaca berita, Zalina Shaharah Azman atau dikenali sebagai Zalina Azman, 57, menerusi platform media sosial kementerian itu.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, pihaknya bersimpati dengan kehilangan itu dan mendoakan bekas pembaca berita berkenaan ditemui dalam keadaan selamat.

Katanya, pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilihat turut bersama membantu mencari Zalina.

“Kita memerlukan kerjasama semua pihak walaupun berita kehilangannya sudah lebih tujuh bulan sejak November tahun lalu.

“Kementerian juga akan turut membantu dan boleh uar-uarkan melalui platform sosial media kementerian yang ada,” katanya selepas Persidangan Meja Bulat Wanita Bangkit 2022 di Glenmarie di sini, petang tadi.

Terdahulu, polis memaklumkan wanita yang dikatakan mirip seakan Zalina yang ditemui di tiga buah lokasi di Seksyen 3, 9 dan 14 adalah individu sama yang merupakan gelandangan.

Kehilangan Zalina sejak lapan bulan lalu masih menjadi misteri apabila tiada sebarang petunjuk mengenainya sehingga kini.

Jelas Rina, beliau turut mengharapkan keprihatinan rakyat Malaysia bagi membantu mengesan personaliti yang hilang itu.

“Menerusi berita kehilangan itu, saya berharap kita melihat kiri dan kanan apabila berjalan. Selain itu, saya kira semuanya kini dalam tindakan pihak polis.

“Ahli keluarga Zalina juga diharap tidak berputus asa dan cekal meneruskan usaha mencarinya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI