PETALING JAYA – Lenggong Outdoor Festival 2022 (ODF22) anjuran Locco dan Cerita & Co serta disokong oleh Tourism Negeri Perak dan Majlis Daerah Lenggong, Perak yang telah berlangsung selama tiga hari bermula 1 Julai lalu telah menarik minat lebih daripada 1,000 peminat aktiviti luar termasuk dari luar negara.
Pengarah ODF22, Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata, program tersebut merupakan festival luar pertama di negara ini yang menggabungkan sesi forum, bengkel, penerokaan dan juga konsert mini dalam satu acara.
Menurutnya, Lenggong dipilih menjadi lokasi utama kerana bentuk muka buminya yang menarik serta bersesuaian untuk pelbagai aktiviti luar, mempromosikan daerah tersebut dalam industri pelancongan negara selain menarik minat orang ramai menceburi aktiviti luar serta gaya hidup yang mencabar.
“Sepanjang festival itu berlangsung, kami telah berjaya mengumpul lebih daripada 40 komuniti outdoor dari seluruh negara termasuk 10 dari negeri Perak.
“Komuniti luar itu terdiri daripada kumpulan yang suka berkhemah, mendaki gunung, berkayak, berbasikal, pelari, stand up paddling, motor home serta caravan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Shamsul Bahrin menerangkan, antara aktiviti yang dilaksanakan bagi pengisian festival berkenaan adalah berkhemah, mendaki gunung, berkayak, melakukan aktiviti kecergasan dan merentas desa menggunakan basikal.
Selain itu, diadakan aktiviti memanah, sesi perbincangan (coffee talk), bengkel tentang keselamatan berkaitan air, tips perkhemahan serta persembahan mini konsert.
Shamsul Bahrin menjelaskan, Lenggong Outdoor Festival 2022 di adakan bersempena sambutan ulangtahun ke-10 lenggong sebagai tapak warisan UNESCO. -KOSMO! ONLINE