fbpx

Kes Covid-19 di Kedah meningkat 34.5 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

ALOR SETAR – Kes Covid-19 di negeri ini mencatatkan peningkatan sebanyak 34.5 peratus dengan 491 kes baharu bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-28 bermula 10 hingga 16 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, majoriti kes positif pada minggu itu melibatkan saringan bergejala iaitu 53.6 peratus diikuti saringan kontak rapat (15.7 peratus) dan saringan kendiri (15.3 peratus).

“Kes baharu pada hari ini adalah sebanyak 109 kes dengan majoriti kes daripada kategori umur 19 hingga 59 tahun iaitu sebanyak 69 kes atau 63.3 peratus.

“Kes Covid-19 dalam kalangan warga emas mencatatkan sebanyak 18 kes (16.5 peratus),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, kes-kes yang dilaporkan hanya menunjukkan gejala ringan dan dikuarantin di rumah masing-masing.

“Memandangkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Kedah ditutup pada 15 Mei lepas, kes yang memerlukan rawatan dimasukkan ke wad-wad Covid di hospital.

“Sementara kes-kes bergejala ringan dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang beroperasi di klinik-klinik kesihatan dan secara maya,” ujarnya.

Ujarnya, keadaan pandemik Covid-19 pada masa ini dalam keadaan terkawal dan pemantauan situasi semasa diteruskan dengan teliti.

Menyentuh tentang penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pula, katanya, jangkitan mencatatkan penurunan sebanyak 43.6 peratus berbanding minggu sebelumnya.

“Sebanyak 105 kes baharu HFMD dilaporkan di Kedah iaitu penurunan 81 kes atau 43.6 peratus berbanding dengan minggu sebelumnya. Tiada wabak baharu dilaporkan sepanjang minggu berkenaan,” katanya.

Katanya, turut mencatatkan penurunan adalah wabak Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan Jangkitan Saluran Pernafasan Atas (URTI) dengan hanya satu wabak yang melibatkan pelajar asrama institusi pendidikan tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI