fbpx

KDN laksana pelan komprehensif menyeluruh banteras jenayah rentas sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Imigresen 2022 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya di sini, hari ini. - FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan pelan komprehensif menyeluruh bagi kawalan sempadan negara bertujuan menangani aktiviti jenayah rentas sempadan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pelan itu kelak akan merangkumi pelbagai kaedah kawalan dan kekuatan aset membabitkan pelbagai agensi di bawah KDN.

Beliau berkata, ia termasuk menubuhkan satu agensi berkaitan sempadan dan menggunakan teknologi terkini untuk mengawal individu keluar masuk ke dalam negara.

“Sebagai contoh, kita akan menambah baik sistem pemantauan dan kawalan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta menambah baik aset milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Bagaimanapun, proses tambah baik aset itu perlu bergantung kepada keutamaan kewangan negara buat masa ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan sambutan Hari Imigresen 2022 di Dataran Pahlawan, di sini hari ini.

Mengulas Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang 2022 pula, Hamzah berkata, penilaian dibuat JNAS terhadap Malaysia dibuat secara subjektif dan pelbagai persepsi.

Menurutnya, beliau menyifatkan laporan itu dipengaruhi oleh tindakan segelintir majikan yang terbabit dalam persekitaran eksploitasi kerja seperti penderaaan, menahan pasport, bekerja secara haram, tidak membayar gaji dan tidak menyediakan penginapan sesuai.

“Justeru, KDN dan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) terus komited memelihara hak mangsa pemerdagangan manusia di negara ini.

“Kami akan memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang terbabit secara langsung mahupun yang bersubahat dalam jenayah keji ini, untuk dibawa ke muka pengadilan berdasarkan lunas perundangan sedia ada,” katanya.

Pada masa sama, katanya, KDN juga sudah mengambil beberapa tindakan strategik termasuk membuat pindaan kepada Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang berkuatkuasa pada 22 Februari lalu dan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang Tahun 2021-2025 (NAPTIP 3.0).

Media sebelum ini melaporkan Amerika Syarikat (AS) telah menambah empat lagi negara iaitu Vietnam, Kemboja, Brunei dan Macau dalam ‘Tier 3′ bagi pemerdagangan manusia termasuk Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI