KUALA LUMPUR – Seorang jururawat masyarakat menangis di Mahkamah Sesyen di sini hari ini apabila mengenang pertemuannya dengan remaja sindrom Down, Bella yang ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Negeri Sembilan pada Julai 2021.
Wan Zuriena Wan Ismail, 40, yang merupakan jururawat rumah kebajikan itu berkata, dia tidak dapat menahan emosinya ketika Bella memanggil namanya ‘Misi Wan’ dan memeluknya.
“Pada 4 Julai 2021 selepas membuat rondaan dan tiba di asrama Bella duduk, dia tengok panggil ‘Misi Wan’, dia datang kepada saya dan peluk.
“Saya memang tak boleh tahan emosi tengok dia dengan kedua-dua tangan berbalut rambutnya potong pendek ada parut di muka. Itulah pandangan pertama saya,” kata saksi pendakwaan ke-14 itu sambil menangis.
Mengulas lanjut, dalam keterangannya, saksi itu turut berkata, pada masa sama, dia melihat Bella dalam keadaan trauma selain mengigau pada waktu malam.
“Kalau sebelum ini dia rapat dengan staf yang menjaganya tetapi apabila kes ini dia cuma rapat dengan orang tertentu. Dia ambil masa agak lama untuk pulih,” katanya.
Ujar saksi itu kali terakhir dia melihat Bella pada Julai sebelum remaja itu dibawa ke mahkamah.
Sementara itu, ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad bagaimana keadaan Bella terutama ketika luka tangannya dicuci semasa berada di rumah kebajikan itu, saksi tersebut berkata, dia akan menggunakan psikologi untuk mengalihkan kesakitan.
“Setiap kali kita nak cuci luka, Bella akan tarik tangannya. Kita kena guna psikologi pujuk dia kalau Bella hendak pergi sekolah kena cuci luka, sapu ubat dan balut.
“Kalau tidak kuman akan masuk luka semakin besar. Hari-hari kita cakap benda sama, hari-hari ketika cuci luka kita doa benda sama iaitu Ya Allah, Bella hendak sembuh, sihat dan pergi sekolah semula dan Bella maafkan semua,” kata saksi itu lagi.
Dalam pada itu saksi itu berkata, keadaan remaja tesebut sekarang semakin ceria selain berat badan juga bertambah.
Terdahulu pada prosiding sebelah pagi, seorang pegawai perubatan memberitahu Mahkamah Sesyen usia Bella ketika menjalani ujian sinar- X bone age (anggaran usia tulang) adalah 15 tahun pada 2020.
Saksi pendakwaan ke-13, Dr. B. Anulaawathi, 39, yang sebelum ini bertugas di Jabatan Radiologi Hospital Tunku Azizah berkata, analisis dibuat melalui tiga aspek iaitu chronological age, brush data foundation dan buku rujuk Radiographic Atlas of Skeletal Development of the Hand and Wrist Book by Greulich and Pyle.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung lagi 29 Ogos ini.
Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE