PUTRAJAYA – Warga Wilayah Persekutuan Putrajaya serta kawasan berhampiran kini berpeluang menikmati harga ayam pada kadar lebih murah iaitu RM8.50 sekilogram bermula 1 Ogos ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, inisiatif tersebut akan dijalankan secara berterusan selaras dengan program Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah yang diadakan di Kuala Lumpur dan Labuan.
Menurut beliau, ayam yang dijual pada harga lebih rendah daripada harga siling yang ditetapkan itu boleh didapati di seluruh pasar-pasar awam di Putrajaya.
“Mulai 1 Ogos harga ayam akan diturunkan kepada RM8.50, ia adalah harga termurah jadi orang ramai boleh datang beramai-ramai ke Putrajaya.
“Kita juga akan buat pusat sembelihan di Presint 20 kerana sudah ada gudang-gudang yang dikhaskan untuk tujuan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pra Pelancaran Festival Bunga dan Taman Floria DiRaja Putrajaya 2022 di Anjung Floria di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan warga Wilayah Persekutuan berpeluang berbelanja barangan keperluan asas termasuk ayam dan telur pada harga lebih rendah daripada harga siling ditetapkan melalui Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah yang berlangsung selama enam bulan bermula 14 Julai.
Program yang menawarkan barangan asas lain seperti ikan, sayur-sayuran dan makanan kering itu akan dilaksana di setiap Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam di ibu negara melibatkan peruntukan berjumlah RM3.48 juta.- KOSMO! ONLINE