RANTAU PANJANG – Cubaan seorang lelaki yang berperanan sebagai ‘transporter’ membawa 7.5 tan ayam sejuk beku bernilai RM30,000 dari Thailand ke Lembah Klang gagal apabila lori yang dipandu ditahan di tepi jalan di Taman Persiaran Indah, Kampung Berdang dekat Jeli awal pagi tadi.
Suspek berusia 33 tahun itu diberkas pada pukul 2.40 pagi selepas sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan yang dijalankan menggunakan lori tersebut.
Pengarah JKDM Kelantan, Mohd. Nasir Deraman berkata, menerusi intipan yang dijalankan, lori yang dipandu suspek berada di sebuah pangkalan haram di Jeli sebelum sekumpulan penyeludup dilihat memunggah kotak ayam sejuk beku di tepi sungai ke dalam kenderaan tersebut.
Menurutnya, penyeludup mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memasukkan 500 kotak ayam sejuk beku ke dalam lori sebelum keluar dari kawasan pangkalan haram.
“Pihak kami menahan lori itu dan pemeriksaan mendapati 500 kotak ayam sejuk beku berserta logo halal dari negara jiran berada di ruang penyimpanan barangan.
“Siasatan mendapati, kesemua ayam sejuk beku itu diseludup masuk melalui sungai. Suspek dipercayai akan menghantarnya ke Lembah Klang untuk pasaran di sana,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Nasir memberitahu, suspek dipercayai sudah lama menjalankan kegiatan tersebut dan dia turut dibayar upah atas tugasan yang dilakukannya.
Kenderaan dan ayam sejuk beku dirampas manakala suspek sudah dibebaskan dengan jaminan JKDM. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE