PETALING JAYA – Perkongsian penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Daddycap yang menampilkan isteri tercinta, Farra Inalis manis bertudung menuai pujian netizen dalam Instagram.
Daddycap yang sebelum ini dikenali sebagai Caprice mengusik isterinya ketika mereka berada di dalam kereta dalam perjalanan menuju ke sebuah destinasi.
“Hari ini pergi ‘dating’ dengan kekasih baharu. Masya-Allah, masya-Allah.
“Jom kita doa supaya Farra Inalis kekal dengan imej baharu ini,” usik Caprice.
Isterinya yang berada di sebelah tersipu-sipu malu apabila diusik selain menyembunyikan wajahnya daripada dirakam Caprice.
Dalam video tersebut, Inalis atau mesra disapa Elis manis mengenakan sehelai tudung bawal bercorak.
Gurau pemilik nama lengkap Ariz Ramli itu lagi, sekiranya isterinya kekal dengan imej sebegitu, dia akan melancarkan semula bisnes pakaian Muslimah miliknya yang pernah diusahakan sebelum ini.
“Kalau baby (panggilan untuk isterinya) kekal dengan imej ini, insya-Allah esok juga abang tempah kain dan lancar semula bisnes muslimah kita.
“Esok juga lancar aplikasi-aplikasi Islamik kita,” selorohnya lagi.
Perkongsian pelantun lagu Lenglui itu mendapat pelbagai reaksi netizen yang terhibur dengan gurauan manja pasangan suami isteri itu.
Malah ramai yang menitipkan doa agar isteri penyanyi itu perlahan-lahan belajar menutup aurat dan kekal istiqamah bertudung suatu hari nanti.
“Wow, alhamdulillah. Semoga istiqamah. Isteri saya pun sama saja dulu tak pakai tudung. Alhamdulillah. Cuba perlahan-lahan. Tiada paksaan. Hanya teguran. Sampai sekarang, dia lebih baik daripada saya,” komen seorang netizen.
“Masya-Allah, cantik. Semoga istiqamah. Pakai tutup dada ya,” puji seorang netizen lain.
Sebelum ini, Caprice, 34, pernah bercakap tentang aurat isterinya apabila perkara tersebut dipersoalkan netizen kerana wanita itu sering berpenampilan seksi.
Kata penyanyi itu, dia sudah melunaskan tanggungjawab sebagai suami dengan membuat teguran secara peribadi.
Bagaimanapun Caprice enggan isterinya berubah kerana memenuhi kehendak atau paksaan manusia.
Terdahulu, Caprice dan Elis berkahwin pada pertengahan November tahun lalu dalam sebuah majlis tertutup. – KOSMO! ONLINE