BANGKOK – Seramai 18 mangsa diselamatkan selepas sebuah feri meletup ketika dalam perjalanan dari wilayah Chumpon di selatan Thailand menuju ke pulau Koh Tao semalam.
Laman berita Thaiger melaporkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 petang (waktu tempatan) dengan semua 18 mangsa mengalami kecederaan.
Feri bernama Lom Phraya itu dilaporkan terbakar ketika berada sekitar 4 hingga 5 kilometer dari pantai di daerah Mueng, dalam wilayah Chumpon.
Pasukan penyelamat menerusi laman Facebook berkata, seramai 20 penumpang berada di atas feri ketika kejadian, manakala dua lagi merupakan kru feri berkenaan.
Semua 18 penumpang dilaporkan terjun ke dalam laut sebelum mereka diselamatkan oleh pasukan penyelamat.
Seorang lelaki berusia 30 tahun melecur sehingga 50 peratus pada bahagian wajahnya dan kini dirawat di Hospital Chumpon.
Seorang wanita berusia 20 tahun pula mengalami luka pada bahagian dagu, manakala beberapa penumpang lain pula cedera ringan seperti lebam dan melecur.
Punca feri tersebut meletup masih disiasat. Beberapa pegawai berkata, mereka percaya letupan berlaku di bilik enjin menjadi punca kepada kebakaran yang berlaku. – Agensi