fbpx

Harga barang tidak adil dengan gaji kami – Cuepacs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan (tiga dari kanan) beramah-mesra dengan sebahagian penjawat awam yang menghadiri Perhimpunan Penjawat Awam Terengganu di UMT, Kuala Nerus hari ini.

KUALA NERUS – Kongres Kesatuan Pekerja-Ptekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) merayu kerajaan agar segera mempertimbangkan tuntutan yang dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada bulan lalu.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, tuntutan utama iaitu gaji minimum RM1,800 dan dua kali kenaikan gaji tahunan (KGT) adalah penting buat penjawat awam untuk menangani kenaikan kos sara hidup mendadak pada masa ini.

Beliau berkata, kuasa beli penjawat awam khususnya 650,000 orang dalam kategori kumpulan pelaksana semakin mengecil setelah 10 tahun tidak menerima sebarang kenaikan gaji sedangkan harga barang s0emakin meningkat.

“Jabatan Perangkaan mengeluarkan statistik perbelanjaan bulanan biasa akan bertambah RM115 pada bulan ini. Harga barang (kini) amat tidak adil dengan gaji kami.

“Sehubungan itu, kami berharap pertimbangan kerajaan. Jika tidak dapat semua (sembilan tuntutan) sekurang-kurangnya jangan tinggal langsung satu dua perkara yang munasabah ditunaikan,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Penjawat Awam Terengganu di sini hari ini.

Adnan berkata, pertimbangan kerajaan tersebut terutama melibatkan gaji minimum dan KGT pasti dapat melegakan penjawat awam khususnya kumpulan pelaksana gred 54 ke bawah untuk terus memberikan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat.

Tambah beliau, penjawat awam telah membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi memastikan kelancaran sistem penyampaian kepada rakyat walaupun berhadapan dengan situasi politik tidak menentu dan penularan Covid-19.

“Sistem penyampaian tidak pernah berhenti walaupun kerajaan berubah dua kali dan Perdana Menteri bertukar tiga kali. Tiada satu pun jabatan (kerajaan) ditutup,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI