LONDON – Gelombang haba yang mencetuskan kebakaran hutan di barat Eropah, mendorong suhu di Britain melepasi bacaan 40 darjah Celsius buat kali pertama kelmarin, manakala rekod suhu serantau juga runtuh.
Kebakaran padang rumput berlaku di pinggir London dengan satu kebakaran itu memaksa 14 orang berpindah selepas bangunan ladang, rumah dan garaj marak dijilat api.
“Saya sedang berjemur di taman kediaman saya dan awan hitam besar melintas.
“Dalam masa sejam sahaja, kebakaran merebak ke kediaman kami, semua kereta kami musnah,” kata surirumah berumur 30 tahun yang terpaksa meninggalkan kediamannya di bandar Wennington, Ciar Meadows.
Pejabat Meteorologi menyatakan bahawa suhu tertinggi baharu 40.3 darjah Celsius telah direkodkan di Coningsby, timur England.
Sekurang-kurangnya 34 lokasi lain di Britain mengatasi rekod suhu sebelumnya iaitu 38.7 darjah Celsius yang dicatatkan di Cambridge, timur England dalam tahun 2019.
Pakar-pakar menyalahkan perubahan iklim sebagai punca suhu melonjak dan memberi amaran bahawa situasi lebih buruk diramal berlaku.
“Gelombang haba menjadi semakin kerap dan trend negatif ini akan berterusan sehingga sekurang-kurangnya tahun 2060-an tanpa mengira sama ada usaha pengurusan iklim kita berjaya atau sebaliknya,” kata ketua Pertubuhan Meteorologi Sedunia Bangsa-Bangsa Bersatu, Petteri Taalas kepada pemberita di Geneva.
Suhu tinggi mencetuskan amaran peringkat merah di kebanyakan kawasan di England di mana sesetengah laluan kereta api dan sejumlah sekolah ditutup.
Semua tren dari stesen sibuk di Kings Cross dibatalkan, menyebabkan ramai pelawat terkandas.
“Ia agak mengecewakan,” kata pelancong Amerika Syarikat, Deborah Byrne yang mahu ke Scotland.
Bagaimanapun, berikutan permukaan jalan dan landasan mencair serta kebimbangan landasan kereta api akan bengkok, langkah tersebut adalah wajar, kata Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps.
“Infrastruktur di Britain tidak dibina untuk menahan suhu tinggi seperti ini,” katanya. – AFP