PETALING JAYA – Tindakan seorang bapa berlari ke arah anaknya yang rebah sewaktu berkawad serta membantunya supaya kekal berdiri meruntun hati orang ramai.
Kejadian itu berlaku di Maktab Penjara Kajang sempena Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pagi tadi.
Beberapa keping gambar insiden itu tular di media sosial selepas dikongsikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Menerusi hantaran beliau, Alexander berkata, bapa tersebut berlari dari khemah tetamu ke arah anaknya yang rebah menahan terik matahari, malah terlucut selipar dipakai warga emas tersebut.
“Yang hadir di padang kawad pagi tadi menjadi saksi, betapa kasih agung seorang ayah kepada anaknya.
“Yang bermain di fikiran ketika melihat perkara itu, sama ada ayah ingin mengusung anaknya keluar barisan, ternyata sangkaan demikian meleset.
“Meskipun badan ayahnya dimamah usia, anaknya dipapah, bingkas dibantu berdiri sambil badan menjengah lebih separuh abad itu menjadi benteng daripada anaknya kembali rebah,” katanya.
Alexander berkata, kesungguhan bapa tersebut menyebabkan beliau dan tetamu yang hadir pada majlis berkenaan turut berasa sebak.
“Melihatkan pengorbanan tidak terperi seorang ayah, berjurai air mata hadirin membasahi pipi masing-masing. Saya tidak terkecuali.
“Kepada mereka yang masih mempunyai insan bergelar ayah, hargai, sayangi dan santunilah selagi hayatnya dikandung badan.
“Kasihnya ayah, berkorban nyawa, biarlah jiwa akan terseksa, ikhlas dan rela asalkan bahagia,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE