PETALING JAYA – Ahli Lembaga Pengarah SME Corporation Malaysia, Apli Yusoff dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 18 Julai 2022.
PTPTN dalam satu kenyataan media berkata, Apli, 52, menggantikan Datuk Wan Saiful Wan Jan yang tamat kontrak pada 17 Jun lalu.
“Apli berkelulusan Ijazah Kepujian Kejuruteraan Bahan dari Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau kini Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Ahli Lembaga Pengarah SME Corporation Malaysia dan Ahli Lembaga Pengarah MARA Incorporated Sdn. Bhd.
“Beliau juga merupakan Presiden Squash Racket Association of Terengganu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi GAGASAN Kebangsaan,” kata kenyataan itu hari ini.
PTPTN berkata, Apli sebelum ini pernah menyandang beberapa tanggungjawab antaranya sebagai Pengerusi Tati Production Sdn. Bhd. dan Ahli Lembaga Pengarah PTB Securities Sdn Bhd.
Menurut kenyataan itu, PTPTN berharap dengan pengalaman dimiliki Apli dapat membantu PTPTN menjadi sebuah agensi kerajaan yang disegani sekali gus merealisasikan usaha PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan utama negara.
“PTPTN turut mengucapkan terima kasih kepada Wan Saiful atas sumbangan dan baktinya sebagai Pengerusi PTPTN sejak 18 Jun 2018 sehingga 17 Jun 2022,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE