fbpx

2 bekas pegawai kanan MARA Corp. didakwa salah guna kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang tertuduh Noor Irwan ketika tiba di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Dua bekas pegawai kanan MARA Corporation Sdn. Bhd. (MARA Corp) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan salah guna jawatan bagi mendapatkan suapan dengan meluluskan bayaran elaun memangku untuk diri mereka tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah.

Tertuduh Noor Irwan Marmin dan Rizal Abdul Gan masing-masing berusia 44 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Noor Irwan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (memangku) (Acting Group Chief Executive Officer) MARA Corp didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan meluluskan Internal Memo MARA Corporation bertarikh 15 September 2021 hingga 20 Januari lalu.

Ia berhubung perkara yang tertuduh mempunyai kepentingan iaitu bayaran elaun memangku berjumlah RM46,281.75 untuk dirinya tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah MARA Corp.

Rizal sebagai Pengarah Kewangan Korporat Kumpulan (Group Corporate Finance Director), MARA Corp menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan mengambil tindakan meluluskan Internal Memo MARA Corporation iaitu bayaran elaun memangku RM40,875 untuk dirinya tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.

Kesalahan itu dilakukan di tingkat 20, Menara MARA, 232 Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini antara 17 September 2021 hingga 21 Januari 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A. Kala Vani dan Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala Peguam Mohd. Ozier Farhan Mohd. Khanafeh mewakili Noor Irwan. Rizal pula tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan Noor Irwan diikat jamin RM45,000 manakala Rizal RM40,000. Mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Sebutan semula kes pada 23 Ogos ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI