PETALING JAYA – Sebanyak 14 buah syarikat dinobatkan sebagai penerima HQC Global Brand Awards (HGBA) 2022/2023 bersempena Pameran Runcit dan Francais Antarabangsa Malaysia 2022 (MIRF) baru-baru ini.
Antara penerima anugerah tersebut adalah HL Restaurant and Café, JV Food Culture (Haruka Bakery), Mama Global International Sdn. Bhd. dan Madam Grace Kitchen.
Pengerusi Panel Jawatankuasa Penganjur HGBA, Datuk Khairul Shahril Hamzah berkata, pengiktirafan tersebut bertujuan membantu meningkatkan kredibiliti dan jenama syarikat tersebut menjadi platform untuk terus berdaya saing pada masa depan.
“Pengiktirafan yang disampaikan pada hari ini adalah tanda memperkasa dan menyokong pembangunan syarikat khususnya yang terlibat dalam industri peruncitan dan francais dengan menjadikan pameran MIRF 2022 sebagai satu platform untuk terus berdaya maju kerana mereka telah mempunyai rekod prestasi yang cemerlang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Pameran yang menampilkan 400 pempamer tempatan dan luar negara itu telah berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur selama tiga hari bermula 14 Julai lalu.
Selain itu, Khairul menjelaskan, HQC Global Brand Awards merupakan anugerah khas untuk menghargai pencapaian syarikat yang juga pelanggan HQC Commerce Sdn. Bhd. (HQC).
“HQC merupakan rakan strategik kepada akademi halal antarabangsa Malaysia yang bernaung di bawah Jabatan Agama Islam Malaysia.
“Lebih 1,000 syarikat telah dibantu dalam perkhidmatan rundingan dan latihan pembangunan berkaitan pensijilan halal.
Selain itu, HQC juga memberikan khidmat runding cara berkaitan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Good Manufacturing Practise (GMP) dan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP),” jelasnya.
Tambah beliau, antara kriteria utama bagi pemilihan calon untuk anugerah tersebut adalah syarikat tersebut merupakan pemegang sijil halal yang sah dan diiktiraf oleh Jakim, mempunyai rekod perniagaan yang baik tanpa sebarang isu berkaitan halal dan mempunyai tadbir urus perniagaan yang baik.
Selain itu, pada pameran kali ini, HQC turut menyediakan HQC Halfex Pavillion untuk memberi peluang penerima anugerah mempamer produk jualan masing- masing.
“HQC Halflex Pavilion ini merupakan pengenalan kepada penganjuran Halal Food Exhibition (HALFEX) yang akan diadakan pada tahun hadapan,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE