fbpx

11 anggota polis Perak positif dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mior Faridalathrash (dua dari Kanan) bergambar bersama Awie (tiga dari kiri) dan Saiful (dua dari kiri)pada Majlis Pelancaran Anti Scam PDRM peringkat Kontinjen Perak di Aeon Kinta City, Ipoh hari ini. - FOTO: MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Seramai 11 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak dikesan terbabit dalam penyalahgunaan dadah apabila gagal dalam ujian saringan air kencing, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kesemua mereka dikesan hasil pemeriksaan secara rambang terhadap 56 anggota dari dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Katanya, kesemua yang ditahan itu berpangkat Koperal dan Lans Koperal berusia antara 35 hingga 51 tahun.

“Seramai 31 anggota dari sebuah IPD telah diambil urin secara rambang di mana sembilan daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Selain itu, 25 anggota dari IPD lain juga dibuat ujian saringan dan dua daripada mereka didapati positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Jelajah Kempen Anti Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022 di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, daripada 11 anggota yang ditahan itu, seorang daripada mereka pernah ditangkap dan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, anggota itu bagaimanapun dibebaskan oleh mahkamah daripada pertuduhan berkenaan.

“Ini baru ujian awal, kita akan hantar air kencing anggota terlibat untuk ujian patalogi. Jika mereka disahkan masih positif dengan dadah-dadah tertentu, maka kita akan cadang untuk tuduh di mahkamah.

“Siasatan terhadap mereka dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah dalam badan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI