MIAMI – Penyerang Poland, Robert Lewandowski (Lewy) menyifatkan pendekatan yang digunakan oleh pengurus pasukan, Xavi menjadi antara faktor utama kepada keputusannya menyertai Barcelona.
Malah, peluang untuk bergelar juara juga disifatkan menjadi alasan buat Lewandowski untuk turut serta dalam sejarah hebat di Camp Nou dan kini sudah pun sertai pasukan pada pramusim di Amerika Syarikat.
“Saya lihat ideanya (Xavi) cukup sesuai dengan saya. Ia memudahkan lagi saya untuk membuat keputusan dan saya mahu terus bermain dan memenangi kejuaraan.
“Saya juga tahu dengan adanya Xavi, segala-galanya adalah mungkin. Dia cukup ‘masak’ untuk mencari cara terbaik bagi mengetuai Barcelona.
“Dia seorang pemain dan jurulatih yang hebat. Dia juga ada masa depan yang cukup cerah dan saya mahu turut serta dalam perjalanan ini,” katanya.
Selain itu, penyerang yang sudah pun meledak 344 gol dan memenangi 19 piala di Bundesliga itu merasakan penghijrahan ini akan beri cabaran baharu kepadanya untuk jadi pemain lebih baik.
Pemain berusia 33 tahun itu menegaskan penghijrahannya ke Camp Nou tidak hanya melengkapkan sensasi, malah mengidamkan untuk membantu kelab itu kembali ke prestasi terbaik dan cuba memenangi piala.
“Saya sentiasa mahu bermain dengan kelab yang hebat di La Liga dan ini adalah peluang buat saya. Ia juga akan berikan cabaran kepada kehidupan peribadi saya.
“Saya seorang pemain yang sentiasa mahu menang. Kami miliki pemain yang berkualiti dan saya begitu teruja untuk capai kejayaan bersama kelab ini,” jelasnya.
– AGENSI